1. Kaum Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Mereka mematuhi ajaran Al-Quran dan mematuhi amalan dan peraturan yang di contohi dari kelakuan dan kata-kata Nabi Muhammad saw. Mereka menurut panduan tersebut dalam perkataan, dalam lakuan, dalam pemikiran dan dalam perasaan mereka. Mereka menurut maksud dalaman atau intisari yang tersirat dan yang terpendam dalam ajaran Islam itu. Mereka faham betul dan tidak menurut sahaja secara membuta tuli. Mereka mematuhi ajaran islam sepenuhnya, menghayati dan menikmati kemanisan ajaran dan prinsip agama. Mereka melakukan ibadah bukan kerana paksaan tetapi mereka merasa seronok melakukannya. Inilah jalan mistik (kerohanian) yang mereka patuhi. Mereka adalah kaum pencinta Allah yang sebenar.
Ada sebahagian mereka di janjikan dengan syurga tanpa hisab di Hari Pengadilan. Ada sebahagian mereka merasa sedikit azabnya di Hari Pembalasan, kemudian di masukkan ke syurga. Ada pula yang terpaksa merasai azab neraka untuk sekian lama guna untuk membersihkan dosa-dosa mereka sebelum di masukkan ke syurga. Tetapi tidak ada yang berada selama-lamanya dalam neraka itu. Yang kekal dalam neraka ialah orang-orang kafir dan orang-orang munafik.
2. Kaum sesat dan kaum sufi palsu.
Kaum yang sesat dan kaum sufi yang palsu yang terdiri daripada pelbagai golongan. Mereka ini ialah kaum yang sesat di zaman ini, kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.
GOLONGAN YANG SESAT
Golongan orang-orang yang sesat ada banyak, di antaranya yang memang sudah terkenal, iaitu:
Golongan Hululiyyah
Mereka berpendapat adalah halal melihat badan orang yang bukan mahramnya, yang menggiurkan nafsu dan muka yang cantik yang boleh mendorong kepada perzinaan, sama ada lelaki atau perempuan, sesiapa saja tidak kira anak atau isteri orang. Mereka bercampur gaul lelaki dan perempuan dan menari bersama-sama. Ini jelas sekali berlawanan dengan ajaran dan prinsip islam.
Golongan Haliyyah
Mereka ini gemar menyanyi, menari, memekik, menjerit dan menepuk tangan. Kononnya dalam keadaan demikian mereka dapat mengatasi dan melampaui hokum-hakam syariat islam. Tidak perlu lagi bersyariat kerana telah melampaui peringkat syariat. Ini jelas sesat kerana Nabi Muhammad saw sendiri pun menurut syariat walaupun ia kekasih Allah swt.
Golongan Auliaiyyah
Mereka ini mendakwa hampir dengan Allah. Dengan kata lain telah mencapai peringkat Auliya Allah. Apabila telah menjadi waliyullah tidak perlu lagi solat, puasa, haji dan lain-lain ibadah. Mereka berpendapat seseorang wali adalah rakan Allah dan dengan itu mereka lebih tinggi darjatnya dari Nabi. Kata mereka lagi, ilmu atau wahyu sampai kepada Nabi melalui malaikat jibril, tetapi waliyullah menerima ilham atau hikmah langsung terus dari Allah. Itulah dakwaan mereka. Pendapat mereka ini adalah silap, salah dan sesat dan ini akan membawa mereka kepada kebinasaan dan akan menjerumuskan mereka ke lembah bid’ah dan kafir.
Golongan Syamuraniyyah
Mereka percaya kalam (perkataan) adalah kekal dan barangsiapa menyebut kalam yang kekal (kalam Allah) itu tidak terikat dengan hukum atau syariat agama. Mereka tidak peduli halal dan haram. Dalam upacara ibadat mereka menggunakan alat muzik. Perempuan dan lelaki bercampur gaul. Tidak ada beza lelaki dan perempuan. Ini sudah sesat dan menyimpang jauh dari ajaran Al-Quran.
Golongan Hubbiyyah
Golongan ini berkata bahawa apabila seseorang itu sampai ke peringkat cinta, mereka tidak lagi tertakluk kepada hukum syariat. Mereka tidak peduli sangat dengan pakaian. Kadang-kadang mereka bertelanjang bogel. Perasaan malu tidak ada lagi pada diri mereka. Inilah ajaran sesat dan menyesatkan.
Golongan Huriyyah
Mereka ini gemar berteriak-teriak, memekik-mekik, menyanyi dan bertepuk tangan, konon untuk mendapat Dzauq (ekstasi). Mereka mendakwa bahawa dalam keadaan dzauq itu mereka bersenggama atau bersetubuh dengan bidadari. Setelah mereka keluar dari keadaan dzauq, mereka pun mandi hadas. Mereka ini tertipu oleh nafsu mereka sendiri. Sesatlah mereka.
Golongan Ibahiyyah
Mereka ini tidak menyuruh berbuat baik dan tidak melarang berbuat jahat. Sebaliknya mereka menghalalkan yang haram. Zina pun di halalkan. Pada mereka, semua wanita halal pada semua lelaki. Inilah golongan yang sesat larat dan akan menerima azab Allah yang hina.
Golongan Mutakasiliyyah
Mereka mengamalkan prinsip bermalas-malasan dan mencari nafkah secara meminta sedekah dari rumah ke rumah. Mereka beranggapan bahawa mereka telah meninggalkan dunia dan keduniaan. Maka musnahlah mereka dalam kemalasan mereka sendiri.
Golongan Mutajahiliyyah
Mereka ini pura-pura bodoh dan pakaian tidak senonoh dan bersikap seperti orang kafir. Padahal Allah berfirman:
‘Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu di sentuh ( di jilat) api neraka’ –surah Hud ayat 113.
Nabi juga pernah bersabda:
‘Barangsiapa cuba menyerupai sesuatu kaum, maka mereka di kira sebagai ahli kaum itu’.
Golongan Wafiqiyyah
Mereka berpendapat bahawa Allah yang mampu mengenal Allah. Dengan itu mereka tidak mahu berusaha mencari hakikat atau kebenaran. Kerana kebodoan mereka itu membawa mereka menuju kerosakan dan kesesatan.
Golongan Ilhamiyyah
Mereka ini mementingkan ilham. Tidak mahu menuntut ilmu. Tidak mahu belajar. Kata mereka bahawa Al-Quran itu hijab bagi mereka. Mereka gunakan puisi karangan mereka sebagai ganti Al-Quran. Mereka buang Al-Quran dan buang ibadah solat dan lain-lain. Mereka ajar anak-anak mereka puisi sebagai ganti Al-Quran. Maka sesatlah mereka.
Demikian banyak ajaran-ajaran sesat dari guru sufi palsu di zaman ini, kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.
Ilustrasi penulis kitab.
Artikel dipetik daripada kitab ini.
No comments:
Post a Comment