Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta penuh dengan keyakinan dan keikhlasan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman bahawa Allah SWT sentiasa mengingati hamba-hamba-Nya yang mengingati-Nya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 yang tafsirnya :
Salah satu jalan untuk mengingati Allah Subhanahu Wataala itu ialah dengan berzikir. Kerana itulah umat Islam digalakkan memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT jika mahu hampir kepada-Nya.
Zikir adalah amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Ianya merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam keadaan khusyuk dan tawaduk. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-'Araaf ayat 205 yang tafsirnya :
"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut untuk melanggar perintah-Nya dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai".
Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah seperti membaca tasbih 'Subhanallah' bertakbir 'Allahuakbar', membaca hauqalah 'Lahaula wala Quwata Illa Billah', membaca hasballah 'Hasbiallah', membaca basmallah 'Bismillahir Rahmanir Rahim', membaca Al-Quran Al-Karim dan membaca doa-doa yang maksur iaitu doa yang diterima dari Nabi Muhammad saw
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Dari Jabir bin Abdillah ia berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : Zikir yang paling mulia ialah Lailahaillallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah".(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).
Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa amalan berzikir itu sangat banyak fadilatnya. Antaranya ia boleh menjauhkan diri kita dari bersikap lalai dan lupa kepada Allah Subhanahu Wataala, boleh meluruskan fikiran dan hati untuk terus mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, memberi ketenangan batin atau ketenteraman jiwa yakni sakinah. Zikir juga boleh menyebabkan pengamalan mendapat keampunan dari Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 35 yang tafsirnya :
"Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".
Di samping itu, zikir Lailahaillallah mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan, antaranya ialah :-
Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah saw, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud :
"Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.
Dari Zaid bin Arqam r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah saw bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).
Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.
Dari Umar r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu Lailahaillallah".(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).
Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.
Dari Abi Abas r.a bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah Lailahaillallah di sebelah yang lain, maka dacing kalimah (Lailahaillallah) itulah yang lebih berat".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).
Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.
Muaaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
Anak-anak kunci Syurga ialah mengakui kalimah Lailahaillallah (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).
Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir kerana lalai dan lupa Allah SWT itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal'alamin.
Firman Allah SWT dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 143-144 :
"Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih, tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia di bangkitkan keluar dari kubur".
*Inilah pesan guru, agar selalu dan banyakkan Zikir Lailahaillallah...
terima kasih.mohon share
ReplyDelete