“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah.”

Friday, March 15, 2013

KISAH FANA' SYEIKH BAHAUDDIN AN-NAQSHABANDI


Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata;

“Suatu hari daku sedang berada di perkarangan tamanku di Qasrul ‘Arifan dengan memakai kopiah Qalansuwa ‘Azizan dan terdapat para pengikutku di sekelilingku. Tiba-tiba daku mengalami tarikan Jazbah dari Tuhan dengan RahmatNya dan daku merasakan bahawa diriku sedang dipakaikan dengan pakaian dan dihiasi dengan Sifat-SifatNya. Daku menggeletar dalam keadaan yang tidak pernah daku alami sebelum ini sehingga daku berasa tidak mampu untuk berdiri. Daku menghadapkan diriku ke arah Qiblat dan daku mengalami Musyahadah yang mana daku melihat Fana dengan hakikatnya yang sebenar”.
 

Daku mendapati diriku telah benar-benar Fana dan daku tidak melihat sebarang kewujudan melainkan Tuhanku. Kemudian daku melihat diriku keluar dari Kehadiran Yang Maha Suci yang terpancar menerusi cermin MUHAMMAD RASULULLAH dalam rupa bintang yang bersinar dalam lautan cahaya yang tanpa permulaan dan penghujung. Kehidupan jasmaniku tamat dan daku hanya melihat makna LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASUL ALLAH.
 

Hal ini terus membawaku kepada pengertian makna bagi Nama ZatALLAH, dan seterusnya membawaku kepada Zat yang Ghaib Mutlak, yang merupakan Zat bagi nama HUWA. Apabila daku memasuki lautan tersebut hatiku berhenti berdenyut dan seluruh kehidupanku tamat, meletakkan diriku dalam keadaan mati. Ruhku meninggalkan tubuhku dan kesemua yang berada di sampingku menyangka bahawa daku sudah mati dan mereka pun menangis.
 

Kemudian, setelah enam jam berlalu daku telah diperintahkan untuk kembali kepada jasadku. Daku mendapati Ruhku secara perlahan-lahan masuk kembali ke dalam tubuhku dan Musyahadah itu pun tamat. Menafikan kewujudan diri dan mengingkari segala kemahuan Nafsu adalah merupakan keutamaan Tariqat ini.
 

Dalam hal ini daku telah menerokai setiap tingkatan wujud, yang mana telah menjadikan daku sebagai sebahagian dari sekelian ciptaan dan telah terbina suatu keyakinan dalam diriku bahawa semua orang adalah lebih baik dariku. Daku melihat bahawa setiap orang memberikan manfaat dan hanya daku yang tidak memberikan sebarang manfaat.
 

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata lagi,

Pada suatu hari, daku telah mengalami suatu hal keadaan yang menghairankan. Daku mendengar suara Ketuhanan berkata;

“Mintalah apa sahaja yang kau suka dari Kami.”

Maka daku pun berkata dengan kerendahan diri,

“Wahai Allah, kurniakanlah daku dengan setitis dari lautan Rahmat dan KeberkatanMu”

Suara itu menjawab,

“Engkau hanya meminta setitis dari keluasan Rahmat Kami?”
 

Hal ini membuatkan daku berasa seolah-olah ditampar pada wajahku dan rasa kesakitannya terasa di pipiku selama beberapa hari. Kemudian, pada suatu hari daku berkata,
 

“Wahai Allah, kurniakanlah daku dari lautan Rahmat dan KeberkatanMu kekuasaan untuk memikulnya.”
 

Pada waktu itu pandangan Musyahadah telah dibukakan padaku yang mana daku telah didudukkan atas sebuah singgahsana dan singgahsana itu berada di atas sebuah lautan Rahmat, dan suatu suara berkata kepadaku,
 

“Lautan Rahmat ini adalah untukmu, berikanlah ia kepada hamba-hambaku.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata lagi,

“Daku menerima rahsia dari setiap sudut, khasnya dari Hadhrat Uwais Al- Qarani Rahmatullah ‘alaih yang mana telah menggalakkan daku agar melepaskan diri dari sebarang urusan Duniawi dan menghubungkan diriku secara khusus dengan urusan Keruhanian. Daku telah melaksanakannya dengan berpegang teguh pada Syara’ dan menurut arahan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sehingga daku pun mulalah menyebarkan ‘Ilmu Ghaib dan kurniaan rahsia dari Zat Yang Esa, yang belum pernah dikurniakan kepada sesiapa pun.”
 

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih pernah berkata,

“Ketika zamanku mula-mula menempuh Manzil perhentian dan Maqamat, daku telah mengalami hal keadaan yang serupa dengan hal yang telah dialami oleh Hadhrat Mansur Al-Halaj Rahmatullah ‘alaih dan hampir-hampir terkeluar kenyataan dari lidahku sepertimana perkataan yang telah terbit dari lidah Hadhrat Mansur Al-Halaj Rahmatullah ‘alaih. Di sana hanya ada sebuah rumah dan daku telah dua kali membawa diriku ke rumah tersebut dan berkata pada diriku bahawa tempatmu adalah pada rumah ini. Akan tetapi, dengan Kurniaan Fadhzal Ilahi daku telah berjaya menempuh Manzil perhentian ini. Jika pada masa itu terdapat walau seorang pun dari Khalifah Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Rahmatullah ‘alaih di atas muka bumi ini, nescaya sudah pasti Mansur tidak akan berdiam dalam rumah itu.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Kewalian adalah suatu nikmat yang besar. Seseorang Wali hendaklah memahami bahawa dirinya adalah Wali supaya dia dapat mengerjakan Syukur. Wali adalah Mahfuz (Terpelihara). Dengan ‘Inayah Ilahi hal seseorang Wali tidak pernah terlepas dariNya dan dia terpelihara dari sebarang kejahatan manusia. Hendaklah jangan bergantung kepada perkara Khawariq yang mencarik adat dan pada zahirnya sebarang keramat. Urusan Mu’amalah yang sebenarnya adalah pada Istiqamah. Para Auliya ada mengatakan bahawa,
“Hendaklah menuntut Istiqamah, jangan menuntut Karamah, kerana sesungguhnya Tuhan kamu menuntut darimu Istiqamah dan Nafsumu menuntut darimu Karamah.”

Dan Para ‘Alim ‘Ulama Agama pula ada mengatakan bahawa,
“Jika seseorang Wali itu melalui sebuah taman dan dari setiap dedaunan pokok itu keluar suara yang berkata, “Wahai Wali Allah,” maka pada saat itu sekalipun janganlah sesekali memberikan sebarang tumpuan Tawajjuh terhadapnya samada secara Zahir mahupun Batin, bahkan dalam setiap saat dia hendaklah berusaha membawa sifat kehambaan dan merendahkan hati dengan merasakan kekurangan pada diri. Pada diri Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ianya merupakan suatu sifat yang sangat sempurna yang mana walaupun kenikmatan dan kemuliaan Tuhan melimpah-ruah ke atasnya, dengan kadar itu juga Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah dilebihkan dalam sifat kehambaan, kerendahan diri dan hati serta perasaan miskin”
Sesungguhnya keadaan inilah yang menyebabkan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda;

“Apakah daku tidak mahu menjadi hamba Tuhan yang bersyukur?”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Rahmatan Lil ‘Alamin Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda, “Nasib ummatku dari Neraka Jahannam adalah sepertimana nasib Hadhrat Baginda Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dari api Namrud.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Jalan Tariqat kami adalah sangat luarbiasa dan merupakan ‘Urwatil Wutsqa (Pegangan Kukuh), dengan berpegang teguh secara sempurna dan menuruti Sunnah Baginda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum Ajma’in. Mereka telah membawa daku ke jalan ini dengan Kekurniaan. Dari awal hingga ke akhir daku hanya menyaksikan Kekurniaan Allah bukan kerana amalan. Menerusi jalan Tariqat kami, dengan amal yang sedikit, pintu-pintu Rahmat akan terbuka dengan menuruti jejak langkah Sunnah Baginda Rasulullah Sallahllu ‘Alaihi Wasallam.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Barangsiapa yang mengenal Ma’rifat Allah, tidak akan tersembunyi atasnya walau sesuatu, yakni seseorang ‘Arif, apabila memberikan tumpuan Tawajjuhnya terhadap sesuatu, maka ianya akan terzahir padanya.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Selama 40 tahun daku telah melihat ke dalam cermin diri tentang kewujudan kami. Cermin ini tidak pernah melakukan kesalahan sama sekali, yakni apa yang dilihat oleh Para Auliya Allah, mereka melihatnya menerusi cahaya Nur Firasat dari Allah Ta’ala.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Walaupun Solat, Puasa, Riyadhah dan Mujahadah merupakan perantaraan untuk mencapai Hadhrat Haq Ta’ala Wa Taqaddas tetapi di sisi kami, tanpa meninggalkan ikhtiar dan merasakan bahawa amalan diri sendiri adalah kurang, urusan Mu’amalah tidak akan menjadi betul.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Barangsiapa yang memalingkan lehernya dari Tariqat kami, ianya menandakan terdapat kerosakan pada Agamanya.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih juga telah berkata,

“Tariqat kami adalah Suhbat yakni sentiasa bersama kerana menerusi Khalwat akan terhasil Syuhrat kemasyhuran dan dalam Syuhrat kemasyhuran itu terdapat Afat bala musibah. Kebaikan ada dalam Jam’iyat dan Jam’iyat terhasil menerusi Suhbat dan Suhbat adalah dengan menafikan antara satu sama lain.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih juga berkata,

“Dalam Tariqat kami juga, seseorang Salik itu tidaklah dituntut untuk mengetahui di manakah maqam kedudukannya supaya pengetahuan tersebut tidak menjadi Hijab dalam perjalanannya. Seseorang Pir itu hendaklah mempunyai khabar tentang hal keadaan yang telah berlaku dan yang akan berlaku pada seseorang penuntutnya supaya dia dapat memberikan Tarbiyah yang sesuai untuknya. Antara syarat bagi urusan menuntut ialah apabila dia telah menetapkan untuk bersahabat dengan mana-mana Rakan Haq Subhanahu Wa Ta’ala, hendaklah dia menyedari akan hal keadaannya dan pada masa itu hendaklah mempertimbangkan perkara- perkara yang telah lepas. Jika di dapati sebarang kekurangan dan pertambahan kesempurnaan di dalam dirinya, maka dengan lidah perkataannya hendaklah dia berikhtiar memilih ucapan-ucapan yang baik dan hendaklah menganggap bahawa bersuhbat dengannya adalah Fardhu ‘Ain ke atas dirimu.”

Dalam sebuah perhimpunan Para ‘Alim ‘Ulama di Baghdad, Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah ditanya tentang perbezaan perkataan yang telah diucapkan oleh keempat-empat orang Khalifah Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beliau menjawab,
“Suatu ketika, As-Siddiq Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata,“Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di sebelumnya,”dan ‘Umar Al-Faruq Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata,
“Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di belakangnya,” dan ‘Utsman Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata, “Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di sampingnya,” dan ‘Ali Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata, “Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di dalamnya.” Perbezaan dalam ucapan-ucapan ini adalah berdasarkan kepada keadaan masa ianya diucapkan dan bukanlah kerana perbezaan dalam keyakinan mahupun kefahaman.”

Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Apa yang ada di sebalik pengertian Hadits Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, “Sebahagian daripada Iman ialah mengalihkan sesuatu yang memudharatkan dari jalan.”
Apa yang dimaksudkan dengan sesuatu yang memudharatkan ialah keakuan Nafs dan apa yang dimaksudkan dengan jalan ialah Jalan Allah sepertimana Dia telah berkata kepada Hadhrat Abu Yazid Bistami, “Tinggalkan Nafsmu dan datanglah kepada Kami.”

Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Jalan untuk mencapai Ma’rifat Allah Ta’ala yang Para ‘Arif telah menghasilkan Ma’rifat menerusinya dan diharamkan kepada selain mereka, ada tiga jalan iaitu yang pertama Muraqabah, yang bermaksud melupakan pandangan terhadap makhluk dengan sebab pandangan yang sentiasa terhadap Khaliq”.

Sentiasa bermuraqabah adalah suatu perkara yang sangat penting yang sepertimana haknya sangat sedikit orang yang mampu menghasilkannya dan daku telah mengetahui jalan untuk menghasilkannya, ianya adalah dengan melawan kehendak Nafs dan menuruti Sunnah.
Yang kedua Musyahadah yang bermaksud penyaksian Warid yang bersifat ghaib, yang turun dalam hati seseorang Salik meskipun ianya cepat berlalu dan tidak tetap lama, kerana itulah ianya tidak dapat dicapai pemahamannya bahkan ianya adalah sifat yang menjadi Hal bagi kami. Ianya dapat dikenal pasti menerusi Qabadhzdan Basat yakni sewaktu hal keadaan Qabadhz kami meyaksikan Musyahadah Sifat Jalal dan sewaktu hal keadaan Basat kami menyaksikan Musyahadah Sifat Jamal.
Yang ketiga Muhasabah yang bermaksud, apa sahaja yang telah berlaku pada kita, hendaklah kita menghitungnya pada setiap jam iaitu bagaimanakah kita melaluinya? Jika kita melihat bahawa terdapatnya kerugian maka hendaklah kita melakukan Baz Gasht dan hendaklah kita berikhtiar untuk kembali semula kepada amalan kita. Jika kita melihat bahawa terdapatnya perkara kebaikan maka hendaklah kita bersyukur dan hendaklah kita berhenti sebentar pada hal keadaan tersebut dan hendaklah berusaha melakukan amalan ini.”

Wallahualam...


Saturday, October 8, 2011

SUFI HAKIKI DAN SUFI PALSU

Orang-orang yang mengikuti perjalanan kerohanian menuju Allah (Ahli suluk atau Ahli Thariqat) terbahagi kepada dua kaum:

 1. Kaum Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Mereka mematuhi ajaran Al-Quran dan mematuhi amalan dan peraturan yang di contohi dari kelakuan dan kata-kata Nabi Muhammad saw. Mereka menurut panduan tersebut dalam perkataan, dalam lakuan, dalam pemikiran dan dalam perasaan mereka. Mereka menurut maksud dalaman atau intisari yang tersirat dan yang terpendam dalam ajaran Islam itu. Mereka faham betul dan tidak menurut sahaja secara membuta tuli. Mereka mematuhi ajaran islam sepenuhnya, menghayati dan menikmati kemanisan ajaran dan prinsip agama. Mereka melakukan ibadah bukan kerana paksaan tetapi mereka merasa seronok melakukannya. Inilah jalan mistik (kerohanian) yang mereka patuhi. Mereka adalah kaum pencinta Allah yang sebenar.

Ada sebahagian mereka di janjikan dengan syurga tanpa hisab di Hari Pengadilan. Ada sebahagian mereka merasa sedikit azabnya di Hari Pembalasan, kemudian di masukkan ke syurga. Ada pula yang terpaksa merasai azab neraka untuk sekian lama guna untuk membersihkan dosa-dosa mereka sebelum di masukkan ke syurga. Tetapi tidak ada yang berada selama-lamanya dalam neraka itu. Yang kekal dalam neraka ialah orang-orang kafir dan orang-orang munafik.


2. Kaum sesat dan kaum sufi palsu.

Kaum yang sesat dan kaum sufi yang palsu yang terdiri daripada pelbagai golongan. Mereka ini ialah kaum yang sesat di zaman ini, kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.


GOLONGAN YANG SESAT

Golongan orang-orang yang sesat ada banyak, di antaranya yang memang sudah terkenal, iaitu:

Golongan Hululiyyah

Mereka berpendapat adalah halal melihat badan orang yang bukan mahramnya, yang menggiurkan nafsu dan muka yang cantik yang boleh mendorong kepada perzinaan, sama ada lelaki atau perempuan, sesiapa saja tidak kira anak atau isteri orang. Mereka bercampur gaul lelaki dan perempuan dan menari bersama-sama. Ini jelas sekali berlawanan dengan ajaran dan prinsip islam.

Golongan Haliyyah

Mereka ini gemar menyanyi, menari, memekik, menjerit dan menepuk tangan. Kononnya dalam keadaan demikian mereka dapat mengatasi dan melampaui hokum-hakam syariat islam. Tidak perlu lagi bersyariat kerana telah melampaui peringkat syariat. Ini jelas sesat kerana Nabi Muhammad saw sendiri pun menurut syariat walaupun ia kekasih Allah swt.

Golongan Auliaiyyah

Mereka ini mendakwa hampir dengan Allah. Dengan kata lain telah mencapai peringkat Auliya Allah. Apabila telah menjadi waliyullah tidak perlu lagi solat, puasa, haji dan lain-lain ibadah. Mereka berpendapat seseorang wali adalah rakan Allah dan dengan itu mereka lebih tinggi darjatnya dari Nabi. Kata mereka lagi, ilmu atau wahyu sampai kepada Nabi melalui malaikat jibril, tetapi waliyullah menerima ilham atau hikmah langsung terus dari Allah. Itulah dakwaan mereka. Pendapat mereka ini adalah silap, salah dan sesat dan ini akan membawa mereka kepada kebinasaan dan akan menjerumuskan mereka ke lembah bid’ah dan kafir.

Golongan Syamuraniyyah

Mereka percaya kalam (perkataan) adalah kekal dan barangsiapa menyebut kalam yang kekal (kalam Allah) itu tidak terikat dengan hukum atau syariat agama. Mereka tidak peduli halal dan haram. Dalam upacara ibadat mereka menggunakan alat muzik. Perempuan dan lelaki bercampur gaul. Tidak ada beza lelaki dan perempuan. Ini sudah sesat dan menyimpang jauh dari ajaran Al-Quran.

Golongan Hubbiyyah

Golongan ini berkata bahawa apabila seseorang itu sampai ke peringkat cinta, mereka tidak lagi tertakluk kepada hukum syariat. Mereka tidak peduli sangat dengan pakaian. Kadang-kadang mereka bertelanjang bogel. Perasaan malu tidak ada lagi pada diri mereka. Inilah ajaran sesat dan menyesatkan.

Golongan Huriyyah

Mereka ini gemar berteriak-teriak, memekik-mekik, menyanyi dan bertepuk tangan, konon untuk mendapat Dzauq (ekstasi). Mereka mendakwa bahawa dalam keadaan dzauq itu mereka bersenggama atau bersetubuh dengan bidadari. Setelah mereka keluar dari keadaan dzauq, mereka pun mandi hadas. Mereka ini tertipu oleh nafsu mereka sendiri. Sesatlah mereka.

Golongan Ibahiyyah

Mereka ini tidak menyuruh berbuat baik dan tidak melarang berbuat jahat. Sebaliknya mereka menghalalkan yang haram. Zina pun di halalkan. Pada mereka, semua wanita halal pada semua lelaki. Inilah golongan yang sesat larat dan akan menerima azab Allah yang hina.

Golongan Mutakasiliyyah

Mereka mengamalkan prinsip bermalas-malasan dan mencari nafkah secara meminta sedekah dari rumah ke rumah. Mereka beranggapan bahawa mereka telah meninggalkan dunia dan keduniaan. Maka musnahlah mereka dalam kemalasan mereka sendiri.

Golongan Mutajahiliyyah

Mereka ini pura-pura bodoh dan pakaian tidak senonoh dan bersikap seperti orang kafir. Padahal Allah berfirman:

‘Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu di sentuh ( di jilat) api neraka’ –surah Hud ayat 113.

Nabi juga pernah bersabda:

‘Barangsiapa cuba menyerupai sesuatu kaum, maka mereka di kira sebagai ahli kaum itu’.

Golongan Wafiqiyyah

 Mereka berpendapat bahawa Allah yang mampu mengenal Allah. Dengan itu mereka tidak mahu berusaha mencari hakikat atau kebenaran. Kerana kebodoan mereka itu membawa mereka menuju kerosakan dan kesesatan.

Golongan Ilhamiyyah

Mereka ini mementingkan ilham. Tidak mahu menuntut ilmu. Tidak mahu belajar. Kata mereka bahawa Al-Quran itu hijab bagi mereka. Mereka gunakan puisi karangan mereka sebagai ganti Al-Quran. Mereka buang Al-Quran dan buang ibadah solat dan lain-lain. Mereka ajar anak-anak mereka puisi sebagai ganti Al-Quran. Maka sesatlah mereka.


Demikian banyak ajaran-ajaran sesat dari guru sufi palsu di zaman ini, kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.


Ilustrasi penulis kitab.


Artikel dipetik daripada kitab ini.

Friday, October 7, 2011

Kelebihan Zikir LAILAHAILLALLAH


Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta penuh dengan keyakinan dan keikhlasan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman bahawa Allah SWT  sentiasa mengingati hamba-hamba-Nya yang mengingati-Nya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 yang tafsirnya :

"Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat pula kepadamu dan bersyukur kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku".

Salah satu jalan untuk mengingati Allah Subhanahu Wataala itu ialah dengan berzikir. Kerana itulah umat Islam digalakkan memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT jika mahu hampir kepada-Nya.
 

Zikir adalah amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Ianya merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam keadaan khusyuk dan tawaduk. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-'Araaf ayat 205 yang tafsirnya :
 
"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut untuk melanggar perintah-Nya dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai".
 

Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah seperti membaca tasbih 'Subhanallah' bertakbir 'Allahuakbar', membaca hauqalah 'Lahaula wala Quwata Illa Billah', membaca hasballah 'Hasbiallah', membaca basmallah 'Bismillahir Rahmanir Rahim', membaca Al-Quran Al-Karim dan membaca doa-doa yang maksur iaitu doa yang diterima dari Nabi Muhammad saw

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Dari Jabir bin Abdillah ia berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : Zikir yang paling mulia ialah Lailahaillallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah".(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).




Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa amalan berzikir itu sangat banyak fadilatnya. Antaranya ia boleh menjauhkan diri kita dari bersikap lalai dan lupa kepada Allah Subhanahu Wataala, boleh meluruskan fikiran dan hati untuk terus mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, memberi ketenangan batin atau ketenteraman jiwa yakni sakinah. Zikir juga boleh menyebabkan pengamalan mendapat keampunan dari Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 35 yang tafsirnya :

"Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".

Di samping itu, zikir Lailahaillallah mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan, antaranya ialah :-

Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah saw, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

"Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.

Dari Zaid bin Arqam r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : 


"Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah saw bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.

Dari Umar r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :

 
"Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu Lailahaillallah".(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.

Dari Abi Abas r.a bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :

 
"Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah Lailahaillallah di sebelah yang lain, maka dacing kalimah (Lailahaillallah) itulah yang lebih berat".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.

Muaaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : 


Anak-anak kunci Syurga ialah mengakui kalimah Lailahaillallah (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad). 

Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir kerana lalai dan lupa Allah SWT itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal'alamin.

Firman Allah SWT dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 143-144 :

"Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih, tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia di bangkitkan keluar dari kubur".
 

*Inilah pesan guru, agar selalu dan banyakkan Zikir Lailahaillallah...

Thursday, October 6, 2011

SHEIKH DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI

                     
                       PROFIL TUAN GURU DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI

Yang dikasihi Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al-Khalidi dilahirkan pada 11 Februari, 1940 di Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Darjah Khas Sekolah Agama Kerajaan Johor (1957). Kemudian beliau meneruskan pengajian ke Sekolah Arab Kluang Johor dan Kolej Islam Klang. Pada Tahun 1972 beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya. Seterusnya beliau memperoleh Ijazah Sarjana MA dalam bidang Usul Fekah (1975) dan Ijazah Kedoktoran Ph.D daripada Universiti yang sama (1992) dalam bidang Usuluddin (Tasawwuf).

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Guru Agama Sekolah antara tahun 1964 – 1969 dan pernah pula dilantik sebagai Guru Penolong Kanan selepas mendapat ijazah pertama. Pada awal tahun 1974 beliau dilantik menjadi Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya dan telah dilantik menjadi Profesor Madya tahun 1992 dan beliau telah bersara pada akhir tahun 1995, sebagai Pensyarah di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Kuala Lumpur.
                                                                   

Beliau telah bergiat aktif dalam masyarakat sebagai pemimpin Islam setempat dengan usaha membangunkan hal ehwal agama Islam seperti surau, masjid dan sekolah agama. Beliau telah dilantik sebagai Nazir Masjid Nurul Yaqin Kg Melayu Sri Kundang 1988 – 2006 dan Pengerusi Sekolah Rendah Agama 1988. Usaha dan kegigihan beliau dalam pengislahan masyarakat direalisasikan apabila dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) yang telah mengembangkan sayap bergerak di seluruh Malaysia dengan sokongan ahli persatuan yang aktif dalam pelbagai aktiviti berbentuk dakwah, pendidikan dan kemasyarakatan.

Minatnya tentang tarekat dan tasawwuf yang cukup mendalam hingga mendorongnya untuk mengkaji, mempelajari dan mengamalkan tiga tarekat, iaitu Ahmadiyyah, Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah yang berpengaruh dan mempunyai murid yang ramai di seluruh dunia.

Beliau mengambil bai'ah Tariqah Naqshabandiah Khalidiah dan bersuluk di bawah pimpinan al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi (Silsilah 36) dan merupakan salah seorang KHALIFAH dan PENGGANTI kepada al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi, Surau Ihya' al-Qulub, Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang Darul Makmur.                                                                                  

Beliau telah mendapat keizinan menjalankan apa-apa kerja tarekat dan suluk melalui wasiat lisan al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi yang disaksikan beberapa orang khalifah lain tahun 1991 dan diwasiatkan juga menjaga Surau Suluk milik al-marhum tuan gurunya iaitu Madrasah Babul Khayrat, Jalan Suka, Kg Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor Darul Takzim. (Keterangan Lengkap boleh didapati daripada Kitab yang akan diterbitkan akhir Awal Januari, 2010 nanti, iaitu "al-Ajwibah al-Mardhiah Li Raddi 'Ala Fitnah al-Lisaniah"- Jawapan Luhur Terhadap Fitnah Lidah Terlanjur)
Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek satu-satunya khalifah dan pengganti al-marhum tuan guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi yang mendapat gelaran "AL-KHALIDI" melalui Syair 14 rangkap hasil karya al-marhum tuan guru sendiri sempena penerbitan buku terjemahan "Tanwirul Qulub" Karangan Shaikh Muhammad Amin al-Kurdi yang diterjemahkan oleh Shaikh Dr Hj Jahid yang diberikan tajuk "Dhia'ul Iman Fi Tariqi Ar-Rahman".
Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek juga sentiasa diperintahkan oleh al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi memberikan ceramah dan kuliah di merata-rata tempat sewaktu hayat al-marhum.
Sebagai Shaikh dalam Tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah kini beliau memimpin amalan Khalwah/Uzlah/bersuluk (sebanyak 37 kali) sehingga kini di 2 buah Surau Suluk Madrasah Babul-Khayrat, Jalan Suka, Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru dan di Madrasah Madinatul Ilmi di Jalan Pekan-Kuantan, Kuantan, Pahang, dan memimpin majlis dzikrullah@tawajjuh di beberapa tempat di seluruh Malaysia, Sebahagian lokasinya seperti berikut:
  1. Rumah Tuan Guru, Kg Melayu Sri Kundang, Rawang, Selangor Darul Ehsan (Jumaat)
  2. Surau Suluk - Madrasah Babul Khayrat, Jalan Suka, Kg Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor Darul Takzim (Sabtu)
  3. Surau Suluk - Madrasah Madinatul Ilmi di Jalan Pekan-Kuantan, Pahang Darul Makmur (Ahad)
  4. Zawiyah Naqshabandiah, Kg Aur, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman (Sabtu)
  5. Madrasah Ustaz Suhaimi, Dungun, Terengganu Darul Iman (Sabtu)
  6. Rumah Hj Abdul Aziz, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman (Sabtu)
  7. Rumah al-marhum Hj Osman, Kg Sg Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan (Ahad)
  8. Rumah Hj Rahman, Wilayah Persekutuan Putrajaya (Selasa)
  9. Rumah Hj Ikhwan, Masjid Sg Chincin, Gombak, Selangor Darul Ehsan (Rabu)

Dengan kefahaman, kepakaran dan pengamalan berhubung hal ehwal tarekat dan tasawwuf, beliau telah diberikan kepercayaan dan diamanahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan sebagai Ahli Majlis Tariqah-Tariqah Sufiyah (Jalsah Turuq Sufiyah) di bawah Enakmen Tarekat Tasawwuf Negeri Sembilan pada Mac 2007. Yang antara lainnya bertujuan menasihati, memantau dan mengembalikan kedudukan dan perjalanan Tarekat dan Tasawwuf mengikut Al-Quran dan Sunnah.

Dalam bidang Rawatan @ Perubatan Secara Islam beliau telah berpengalaman selama 20 tahun dengan memperkenalkan kaedah rawatan menggunakan KAEDAH REFLEKSOLOGI ISLAM (menggunakan ketukan ranting pokok nona dan asas-asasnya yang tersusun), dzikrullah dan doa kepada pelbagai penyakit yang dialami pesakit. Kesungguhan beliau dalam membantu masyarakat terbukti dengan penubuhan Pusat Rawatan Islam MANARAH di Lorong Beringin, Kuang, Selangor Darul Ehsan. (Buku Kaedah Refleksologi Islam sedang dalam karangan dan penyusunan dan akan diterbitkan insyallah tahun 2010)

Penubuhan Pusat Perlindungan Dan Rawatan ISTANA BUDI yang ditubuhkan pada 23hb Julai, 2009 (Khamis) dan disiapkan pertengahan bulan Ogos 2009 telah dicetuskan ilhamnya oleh Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek. Ia bertujuan melindungi, merawat dan memelihara aqidah pesakit-pesakit HIV Islam yang dipindahkan daripada Pusat Perlindungan HIV di Gereja, Batu Arang.


Dengan pengalaman yang diperolehi, beliau juga sebagai tempat rujukan orang ramai kerana ditemui pelbagai lapisan masyarakat bagi nasihat, tunjuk ajar serta bimbingan dalam pelbagai masalah yang dihadapi. Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang Perubatan Secara Islam telah dimanfaatkan dengan menulis artikel, kertas kerja, dakwah dan membimbing orang ramai melalui media masa, seminar, ceramah dan kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ialah Berpawang dan Bersahabat dengan Jin daripada Perspektif Islam, Tokoh-tokoh dan Peristiwa Penting Sejarah Islam, Strategi Menjawab Sejarah Islam, Dhiaul Iman Fi Thariq ar-Rahman (Terjemahan Kitab), Shaikh dalam Ilmu Tariqah, Kedudukan Qiyas Dalam Perundangan Islam, Membentuk Jiwa Sufi dan lain-lain. Beliau telah membentangkan lebih 50 kertas kerja untuk pelbagai seminar di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan lain-lain, mengarang artikel ilmiah bagi ruangan akhbar “Perubatan Alternatif” dan lain-lain majalah.




Beliau dalam proses menyiapkan beberapa buah kitab ilmiah, antaranya "al-Ajwibah al-Mardhiah Li Raddi 'Ala Fitnah al-Lisaniah" (Jawapan Luhur Terhadap Fitnah Lidah Terlanjur) dan Kaedah Rawatan Refleksologi Islam - Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi.
Beliau sering diundang ke majlis-majlis Forum, Ceramah Umum, kuliah Subuh, Maghrib dan Kuliah Tengahari sehingga hampir setiap hari beliau memberikan kuliah/ceramah agama di Pejabat-pejabat kerajaan, swasta, masjid atau surau di seluruh Malaysia.

Wednesday, October 5, 2011

Bina ISLAM pada hatimu, pada jiwamu, pada jasadmu, maka ISLAM akan menerangi di sekitarnya...


Tuan Guru Sheikh Nuruddin al-Banjari al-Makki juga ada menjawab satu soalan yang dikemukakan oleh hadirin iaitu,

"bagaimana kita mahu mewujudkan daulah Islamiyyah? bagaimana kita mahu mewujudkan hukum-hukum Islam di dalam pemerintahan"

jawab Tuan Guru Sheikh Nuruddin di Masjid As Salam Bukit Sentosa yang lalu,

"ingat balik pesanan al-Imam Hasan al-Banna, "bina Islam pada hati kamu, pada jiwa kamu, pada jasad kamu, maka Islam akan menerangi di sekitarnya"..

apabila seseorang itu memahami Islam, kemudian dia menikah, maka keluarganya pula memahami Islam..kemudian dia bermasyarakat, maka masyarakatnya faham Islam..

setelah faham Islam, maka soal aurat sudah terjaga, maksiat sudah tiada, segala kemungkaran tiada, maka ketika itu tidak ada hukum hudud pun tidak mengapa kerana masyarakat hidup benar-benar menghambakan diri kepada Allah..

Tuan Guru Sheikh Nuruddin menambah lagi, "ketika di zaman pemerintah Sayyidina Umar al-Khattab, ketika mana beliau menjadi hakim, ketika itu tidak ada sebarang kes yang berlaku, maka beliau meletakkan jawatan, hal ini menunjukkan pembinaan Islam pada setiap tubuh manusia itu adalah lebih didahulukan dari segalanya"

maka, fahamilah kepada kita semua, negara Islam tidak akan tertubuh melainkan ia bermula dari setiap tubuh muslim itu..

maka, usahlah bertelagah tentang hal-hal yang membawa kepada kehancuran umat Islam, binalah tubuh kita dengan Islam, kemudian masyarakat kita..wallahua'lam...