“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah.”

Friday, March 15, 2013

KISAH FANA' SYEIKH BAHAUDDIN AN-NAQSHABANDI


Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata;

“Suatu hari daku sedang berada di perkarangan tamanku di Qasrul ‘Arifan dengan memakai kopiah Qalansuwa ‘Azizan dan terdapat para pengikutku di sekelilingku. Tiba-tiba daku mengalami tarikan Jazbah dari Tuhan dengan RahmatNya dan daku merasakan bahawa diriku sedang dipakaikan dengan pakaian dan dihiasi dengan Sifat-SifatNya. Daku menggeletar dalam keadaan yang tidak pernah daku alami sebelum ini sehingga daku berasa tidak mampu untuk berdiri. Daku menghadapkan diriku ke arah Qiblat dan daku mengalami Musyahadah yang mana daku melihat Fana dengan hakikatnya yang sebenar”.
 

Daku mendapati diriku telah benar-benar Fana dan daku tidak melihat sebarang kewujudan melainkan Tuhanku. Kemudian daku melihat diriku keluar dari Kehadiran Yang Maha Suci yang terpancar menerusi cermin MUHAMMAD RASULULLAH dalam rupa bintang yang bersinar dalam lautan cahaya yang tanpa permulaan dan penghujung. Kehidupan jasmaniku tamat dan daku hanya melihat makna LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASUL ALLAH.
 

Hal ini terus membawaku kepada pengertian makna bagi Nama ZatALLAH, dan seterusnya membawaku kepada Zat yang Ghaib Mutlak, yang merupakan Zat bagi nama HUWA. Apabila daku memasuki lautan tersebut hatiku berhenti berdenyut dan seluruh kehidupanku tamat, meletakkan diriku dalam keadaan mati. Ruhku meninggalkan tubuhku dan kesemua yang berada di sampingku menyangka bahawa daku sudah mati dan mereka pun menangis.
 

Kemudian, setelah enam jam berlalu daku telah diperintahkan untuk kembali kepada jasadku. Daku mendapati Ruhku secara perlahan-lahan masuk kembali ke dalam tubuhku dan Musyahadah itu pun tamat. Menafikan kewujudan diri dan mengingkari segala kemahuan Nafsu adalah merupakan keutamaan Tariqat ini.
 

Dalam hal ini daku telah menerokai setiap tingkatan wujud, yang mana telah menjadikan daku sebagai sebahagian dari sekelian ciptaan dan telah terbina suatu keyakinan dalam diriku bahawa semua orang adalah lebih baik dariku. Daku melihat bahawa setiap orang memberikan manfaat dan hanya daku yang tidak memberikan sebarang manfaat.
 

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata lagi,

Pada suatu hari, daku telah mengalami suatu hal keadaan yang menghairankan. Daku mendengar suara Ketuhanan berkata;

“Mintalah apa sahaja yang kau suka dari Kami.”

Maka daku pun berkata dengan kerendahan diri,

“Wahai Allah, kurniakanlah daku dengan setitis dari lautan Rahmat dan KeberkatanMu”

Suara itu menjawab,

“Engkau hanya meminta setitis dari keluasan Rahmat Kami?”
 

Hal ini membuatkan daku berasa seolah-olah ditampar pada wajahku dan rasa kesakitannya terasa di pipiku selama beberapa hari. Kemudian, pada suatu hari daku berkata,
 

“Wahai Allah, kurniakanlah daku dari lautan Rahmat dan KeberkatanMu kekuasaan untuk memikulnya.”
 

Pada waktu itu pandangan Musyahadah telah dibukakan padaku yang mana daku telah didudukkan atas sebuah singgahsana dan singgahsana itu berada di atas sebuah lautan Rahmat, dan suatu suara berkata kepadaku,
 

“Lautan Rahmat ini adalah untukmu, berikanlah ia kepada hamba-hambaku.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata lagi,

“Daku menerima rahsia dari setiap sudut, khasnya dari Hadhrat Uwais Al- Qarani Rahmatullah ‘alaih yang mana telah menggalakkan daku agar melepaskan diri dari sebarang urusan Duniawi dan menghubungkan diriku secara khusus dengan urusan Keruhanian. Daku telah melaksanakannya dengan berpegang teguh pada Syara’ dan menurut arahan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sehingga daku pun mulalah menyebarkan ‘Ilmu Ghaib dan kurniaan rahsia dari Zat Yang Esa, yang belum pernah dikurniakan kepada sesiapa pun.”
 

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih pernah berkata,

“Ketika zamanku mula-mula menempuh Manzil perhentian dan Maqamat, daku telah mengalami hal keadaan yang serupa dengan hal yang telah dialami oleh Hadhrat Mansur Al-Halaj Rahmatullah ‘alaih dan hampir-hampir terkeluar kenyataan dari lidahku sepertimana perkataan yang telah terbit dari lidah Hadhrat Mansur Al-Halaj Rahmatullah ‘alaih. Di sana hanya ada sebuah rumah dan daku telah dua kali membawa diriku ke rumah tersebut dan berkata pada diriku bahawa tempatmu adalah pada rumah ini. Akan tetapi, dengan Kurniaan Fadhzal Ilahi daku telah berjaya menempuh Manzil perhentian ini. Jika pada masa itu terdapat walau seorang pun dari Khalifah Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Rahmatullah ‘alaih di atas muka bumi ini, nescaya sudah pasti Mansur tidak akan berdiam dalam rumah itu.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Kewalian adalah suatu nikmat yang besar. Seseorang Wali hendaklah memahami bahawa dirinya adalah Wali supaya dia dapat mengerjakan Syukur. Wali adalah Mahfuz (Terpelihara). Dengan ‘Inayah Ilahi hal seseorang Wali tidak pernah terlepas dariNya dan dia terpelihara dari sebarang kejahatan manusia. Hendaklah jangan bergantung kepada perkara Khawariq yang mencarik adat dan pada zahirnya sebarang keramat. Urusan Mu’amalah yang sebenarnya adalah pada Istiqamah. Para Auliya ada mengatakan bahawa,
“Hendaklah menuntut Istiqamah, jangan menuntut Karamah, kerana sesungguhnya Tuhan kamu menuntut darimu Istiqamah dan Nafsumu menuntut darimu Karamah.”

Dan Para ‘Alim ‘Ulama Agama pula ada mengatakan bahawa,
“Jika seseorang Wali itu melalui sebuah taman dan dari setiap dedaunan pokok itu keluar suara yang berkata, “Wahai Wali Allah,” maka pada saat itu sekalipun janganlah sesekali memberikan sebarang tumpuan Tawajjuh terhadapnya samada secara Zahir mahupun Batin, bahkan dalam setiap saat dia hendaklah berusaha membawa sifat kehambaan dan merendahkan hati dengan merasakan kekurangan pada diri. Pada diri Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ianya merupakan suatu sifat yang sangat sempurna yang mana walaupun kenikmatan dan kemuliaan Tuhan melimpah-ruah ke atasnya, dengan kadar itu juga Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah dilebihkan dalam sifat kehambaan, kerendahan diri dan hati serta perasaan miskin”
Sesungguhnya keadaan inilah yang menyebabkan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda;

“Apakah daku tidak mahu menjadi hamba Tuhan yang bersyukur?”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Rahmatan Lil ‘Alamin Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda, “Nasib ummatku dari Neraka Jahannam adalah sepertimana nasib Hadhrat Baginda Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dari api Namrud.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Jalan Tariqat kami adalah sangat luarbiasa dan merupakan ‘Urwatil Wutsqa (Pegangan Kukuh), dengan berpegang teguh secara sempurna dan menuruti Sunnah Baginda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum Ajma’in. Mereka telah membawa daku ke jalan ini dengan Kekurniaan. Dari awal hingga ke akhir daku hanya menyaksikan Kekurniaan Allah bukan kerana amalan. Menerusi jalan Tariqat kami, dengan amal yang sedikit, pintu-pintu Rahmat akan terbuka dengan menuruti jejak langkah Sunnah Baginda Rasulullah Sallahllu ‘Alaihi Wasallam.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Barangsiapa yang mengenal Ma’rifat Allah, tidak akan tersembunyi atasnya walau sesuatu, yakni seseorang ‘Arif, apabila memberikan tumpuan Tawajjuhnya terhadap sesuatu, maka ianya akan terzahir padanya.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Selama 40 tahun daku telah melihat ke dalam cermin diri tentang kewujudan kami. Cermin ini tidak pernah melakukan kesalahan sama sekali, yakni apa yang dilihat oleh Para Auliya Allah, mereka melihatnya menerusi cahaya Nur Firasat dari Allah Ta’ala.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Walaupun Solat, Puasa, Riyadhah dan Mujahadah merupakan perantaraan untuk mencapai Hadhrat Haq Ta’ala Wa Taqaddas tetapi di sisi kami, tanpa meninggalkan ikhtiar dan merasakan bahawa amalan diri sendiri adalah kurang, urusan Mu’amalah tidak akan menjadi betul.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Barangsiapa yang memalingkan lehernya dari Tariqat kami, ianya menandakan terdapat kerosakan pada Agamanya.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih juga telah berkata,

“Tariqat kami adalah Suhbat yakni sentiasa bersama kerana menerusi Khalwat akan terhasil Syuhrat kemasyhuran dan dalam Syuhrat kemasyhuran itu terdapat Afat bala musibah. Kebaikan ada dalam Jam’iyat dan Jam’iyat terhasil menerusi Suhbat dan Suhbat adalah dengan menafikan antara satu sama lain.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih juga berkata,

“Dalam Tariqat kami juga, seseorang Salik itu tidaklah dituntut untuk mengetahui di manakah maqam kedudukannya supaya pengetahuan tersebut tidak menjadi Hijab dalam perjalanannya. Seseorang Pir itu hendaklah mempunyai khabar tentang hal keadaan yang telah berlaku dan yang akan berlaku pada seseorang penuntutnya supaya dia dapat memberikan Tarbiyah yang sesuai untuknya. Antara syarat bagi urusan menuntut ialah apabila dia telah menetapkan untuk bersahabat dengan mana-mana Rakan Haq Subhanahu Wa Ta’ala, hendaklah dia menyedari akan hal keadaannya dan pada masa itu hendaklah mempertimbangkan perkara- perkara yang telah lepas. Jika di dapati sebarang kekurangan dan pertambahan kesempurnaan di dalam dirinya, maka dengan lidah perkataannya hendaklah dia berikhtiar memilih ucapan-ucapan yang baik dan hendaklah menganggap bahawa bersuhbat dengannya adalah Fardhu ‘Ain ke atas dirimu.”

Dalam sebuah perhimpunan Para ‘Alim ‘Ulama di Baghdad, Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah ditanya tentang perbezaan perkataan yang telah diucapkan oleh keempat-empat orang Khalifah Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beliau menjawab,
“Suatu ketika, As-Siddiq Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata,“Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di sebelumnya,”dan ‘Umar Al-Faruq Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata,
“Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di belakangnya,” dan ‘Utsman Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata, “Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di sampingnya,” dan ‘Ali Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata, “Daku tidak melihat sesuatu melainkan bahawa Allah berada di dalamnya.” Perbezaan dalam ucapan-ucapan ini adalah berdasarkan kepada keadaan masa ianya diucapkan dan bukanlah kerana perbezaan dalam keyakinan mahupun kefahaman.”

Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Apa yang ada di sebalik pengertian Hadits Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, “Sebahagian daripada Iman ialah mengalihkan sesuatu yang memudharatkan dari jalan.”
Apa yang dimaksudkan dengan sesuatu yang memudharatkan ialah keakuan Nafs dan apa yang dimaksudkan dengan jalan ialah Jalan Allah sepertimana Dia telah berkata kepada Hadhrat Abu Yazid Bistami, “Tinggalkan Nafsmu dan datanglah kepada Kami.”

Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Jalan untuk mencapai Ma’rifat Allah Ta’ala yang Para ‘Arif telah menghasilkan Ma’rifat menerusinya dan diharamkan kepada selain mereka, ada tiga jalan iaitu yang pertama Muraqabah, yang bermaksud melupakan pandangan terhadap makhluk dengan sebab pandangan yang sentiasa terhadap Khaliq”.

Sentiasa bermuraqabah adalah suatu perkara yang sangat penting yang sepertimana haknya sangat sedikit orang yang mampu menghasilkannya dan daku telah mengetahui jalan untuk menghasilkannya, ianya adalah dengan melawan kehendak Nafs dan menuruti Sunnah.
Yang kedua Musyahadah yang bermaksud penyaksian Warid yang bersifat ghaib, yang turun dalam hati seseorang Salik meskipun ianya cepat berlalu dan tidak tetap lama, kerana itulah ianya tidak dapat dicapai pemahamannya bahkan ianya adalah sifat yang menjadi Hal bagi kami. Ianya dapat dikenal pasti menerusi Qabadhzdan Basat yakni sewaktu hal keadaan Qabadhz kami meyaksikan Musyahadah Sifat Jalal dan sewaktu hal keadaan Basat kami menyaksikan Musyahadah Sifat Jamal.
Yang ketiga Muhasabah yang bermaksud, apa sahaja yang telah berlaku pada kita, hendaklah kita menghitungnya pada setiap jam iaitu bagaimanakah kita melaluinya? Jika kita melihat bahawa terdapatnya kerugian maka hendaklah kita melakukan Baz Gasht dan hendaklah kita berikhtiar untuk kembali semula kepada amalan kita. Jika kita melihat bahawa terdapatnya perkara kebaikan maka hendaklah kita bersyukur dan hendaklah kita berhenti sebentar pada hal keadaan tersebut dan hendaklah berusaha melakukan amalan ini.”

Wallahualam...